PM Thai Srettha Thavisin tiba untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia

Bernama
Oktober 11, 2023 04:59 MYT
Pesawat khas yang membawa Srettha dan beberapa pegawai kanan Thailand mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.15 pagi. - Foto Bernama
SEPANG: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin tiba di sini hari ini untuk memulakan lawatan kerjanya, yang merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 5 Sept lepas.
Pesawat khas yang membawa beliau dan beberapa pegawai kanan Thailand mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 11.15 pagi.
Antara yang hadir bagi menyambut ketibaannya ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Thailand ke Malaysia Lada Phumas.
Srettha kemudiannya melintasi barisan kawalan kehormatan statik oleh 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Regimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapt Raja Azri Syahir Raja Mohd Zulkifli.
Perdana Menteri Thailand itu dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.
Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kedua-dua pemimpin dijangka meninjau perkembangan hubungan dua hala antara negara.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Pada 2022, Thailand merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di dunia, dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion), meningkat 17.9 peratus berbanding RM97.55 bilion (AS$23.54 bilion) pada 2021.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Thailand #Srettha Thavisin #lawatan kerja ke Malaysia #Anwar Ibrahim