MALAYSIA

PM tiba di Rio de Janeiro, hadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-17

Harits Asyraf Hasnan 05/07/2025 | 09:07 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang akan berlangsung dari 6 hingga 7 Julai. -Astro AWANI
RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang akan berlangsung dari 6 hingga 7 Julai.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 dari 6 hingga 7 Julai.
  • Malaysia menyertai sidang kemuncak sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025, dengan Anwar dijadual menyampaikan dua kenyataan negara.
  • Lawatan turut melibatkan mesyuarat perniagaan dengan syarikat Embraer dan delegasi terdiri daripada beberapa menteri serta pegawai kanan kerajaan dan syarikat Malaysia.


Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Galeao Rio De Janeiro pada pukul 5.41 pagi waktu tempatan, pada Sabtu.

Menyambut ketibaan beliau adalah Setiausaha Promosi Perdagangan, Sains, Teknologi Inovasi dan Budaya, Kementerian Luar Brazil, dab Pemangku Ketua Perwakilan Malaysia ke Brazil, Datuk Mohammad Ali Selamat.

Anwar yang tiba dari Paris selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Perancis dijadual menyampaikan dua kenyataan negara pada Sidang Kemuncak BRICS.



Mohammad Ali berkata, kedua-dua intervensi itu mencerminkan komitmen teguh Malaysia untuk mengukuhkan multilateralisme dan mengangkat suara dan kepentingan negara membangun, sejajar dengan objektif teras BRICS 2025.

Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu adalah atas kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS dan selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Malaysia secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari tahun ini.

Sementara itu, semasa lawatan ke Rio de Janeiro, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan mengadakan mesyuarat perniagaan dengan syarikat aeroangkasa multinasional Brazil, Embraer.

Delegasi Perdana Menteri diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta para pegawai kanan kerajaan dan syarikat Malaysia.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil meningkat sebanyak 14.6 peratus kepada RM20.35 bilion (AS$4.38 bilion) pada 2024, daripada RM17.43 bilion pada tahun sebelumnya, mengekalkan Brazil sebagai salah satu rakan dagang utama Malaysia di Amerika Latin.

Antara eksport Malaysia ke Brazil ialah produk elektrik dan elektronik (E&E), produk getah, produk petroleum, kimia dan produk kimia dan produk perkilangan berasaskan minyak sawit, manakala import dari negara Amerika Selatan itu termasuk bijih logam dan sisa logam, daging, kopi; dan petroleum mentah.










#Anwar Ibrahim #Rio de Janeiro #sidang kemuncak BRICS #negara rakan BRICS