MALAYSIA
PM titip doa agar misi pelayaran GSF berjaya bawa sinar harapan ke Gaza

Anwar berharap usaha itu menjadi sinar harapan buat rakyat Gaza yang kini berada dalam pengepungan rejim Zionis Israel. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa buat sukarelawan misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Beliau berharap usaha itu menjadi sinar harapan buat rakyat Gaza yang kini berada dalam pengepungan rejim Zionis Israel.
“Doa tulus daripada seluruh masyarakat mengiringi misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF). Semoga usaha ini menjadi sinar harapan buat rakyat Gaza yang sedang diuji, serta menjadi saksi kesatuan nurani kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Isnin.
Kenyataan itu turut menyiarkan petikan ucapan beliau pada Sidang Kemuncak Darurat Arab-Islam di Doha, Qatar pada 15 September lalu, yang menegaskan GSF bukan membawa senjata tetapi bantuan kemanusiaan.GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat. Semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan dan melihat flotila itu sebagai simbol solidariti dunia terhadap krisis Gaza.
Misi tersebut juga menegaskan undang-undang antarabangsa jelas melindungi orang awam dalam misi kemanusiaan, dan sebarang serangan terhadap flotila akan melanggar Konvensyen Geneva.
Flotila berlayar dalam kerangka undang-undang untuk menghantar bantuan serta mencabar sekatan Israel. Prinsip ini turut diperkukuh dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang mengarahkan Israel memudahkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pada 15 September, seramai 14 peserta GSF dari Malaysia telah berlepas dari Pelabuhan Augusta, Sicily, Itali selepas menunggu selama 12 hari. Mereka menyertai lebih 70 kapal dari Sepanyol, Tunisia dan Itali untuk meneruskan pelayaran ke Gaza.
Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ajar memaklumkan semua peserta dalam keadaan sihat dan telah menaiki bot masing-masing untuk menyambung misi kemanusiaan tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami