KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai sokongan ke arah pembangunan mutu bola sepak negara.

"Bagi menunjukkan sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak negara, saya umumkan kerajaan pada tahun 2022 akan menyumbangkan sebanyak RM10 juta kepada FAM," ujar Ismail Sabri dalam ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu FAM di Presint 5, di sini, pada Isnin.

Jelasnya, tanggungjawab dalam membangunkan bola sepak negara bukan hanya terletak di bahu FAM, malah semua pihak termasuk kerajaan.

Justeru, beliau berharap agar lebih ramai pihak dapat menjadi satu pasukan dalam membangunkan kualiti bola sepak negara.

"Saya sedar, apabila bercakap soal pembangunan bola sepak, tanggungjawab itu tidak seharusnya dipikul oleh FAM semata-mata.

"Ia wajar menjadi agenda nasional, dengan kerjasama kementerian yang berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal.

"Sebagai balasan, dengan bantuan modal insan yang ada dalam FAM, badan induk sukan bola sepak negara ini boleh menjamin pulangan atas pelaburan (ROI) bagi memenuhi tuntutan penaja," jelasnya lagi.

Tambah Ismail Sabri, beliau yang juga penyokong Harimau Malaya bersama Keluarga Malaysia berharap agar FAM dapat terus meningkatkan mutu bola sepak negara, sekali gus menempatkan pasukan kebangsaan di peringkat Asia, Asia Tenggara dan antarabangsa.

"Saya berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan.

"Sejajar dengan pembangunan ini, saya sebagai penyokong Harimau Malaya mewakili seluruh Keluarga Malaysia amat mengharapkan FAM akan menitikberatkan kecemerlangan serta persediaan yang lebih baik dan rapi sebelum perlawanan agar kita tidak mudah kecundang," kata Ismail Sabri,