MALAYSIA

PM umum RM200 juta untuk Sekolah Agama Rakyat

Seth Akmal 05/01/2026 | 07:30 MYT
Menurut Perdana Menteri, peruntukan itu penting memandangkan lebih 300,000 pelajar di sekolah agama rakyat terkesan dengan keadaan kemudahan yang uzur. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan dana segera berjumlah RM200 juta bagi membantu menaik taraf kemudahan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan maahad tahfiz di seluruh negara yang berdepan masalah infrastruktur daif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu penting memandangkan lebih 300,000 pelajar di sekolah agama rakyat terkesan dengan keadaan kemudahan yang uzur, walaupun institusi berkenaan tidak berada di bawah skim pendidikan kebangsaan.

"Dana ini bagi membaik pulih ribuan sekolah agama rakyat, maahad tahfiz serta institusi berkaitan yang memerlukan perhatian segera," katanya.

Beliu berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Januari serta Amanat Tahun 2026, di sini, pada Isnin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan pentadbiran terdahulu yang membatalkan bantuan kepada sekolah-sekolah berkenaan memberi kesan besar terhadap kebajikan pelajar dan masa depan pendidikan mereka.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengadakan rundingan berterusan dengan pihak sekolah terlibat bagi menambah baik aspek kurikulum, kokurikulum, kualiti pengajaran serta kebajikan guru.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM80 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masih berdepan isu kemudahan daif.

Beliau berkata, SJKC turut menjadi pilihan pelajar pelbagai kaum termasuk Bumiputera dan masyarakat India, manakala beberapa SJKT pula memerlukan bantuan segera walaupun bilangannya lebih kecil.

Menurutnya, semua kerja naik taraf akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya dengan syarat margin harga dikawal serta penggunaan bekalan dan produk tempatan diberi keutamaan.





#Anwar Ibrahim #sekolah agama #Maahad Tahfiz #dana segera #terkini