PM usul gaji anggota kabinet dikurangkan, saiz diperkecil

Hafizi Rosli
November 25, 2022 05:32 MYT
Anwar mengaminkan doa sebelum memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengusulkan agar gaji anggota kabinetnya akan dikurangkan, namun ia perlu dipersetujui melalui perbincangan terlebih dahulu.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu, saiz kabinet juga akan diperkecilkan dan pembentukan kabinet itu akan dibuat secepat mungkin.
"Saiz kabinet tentunya akan diperkecil dan saya minta supaya ahli kabinet baharu setuju agar gaji dikurangkan.
"Tetapi semua ini dalam proses perbincangan dan persiapannya sesegera mungkin," kata Anwar pada sidang medianya di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Jelasnya, beliau sebagai Perdana Menteri akan merujuk kepada parti-parti lain untuk mengusulkan nama bagi pembentukan kabinet.
"Kita kena faham bahawa Kerajaan Perpaduan bermakna seorang Perdana Menteri harus rujuk kepada parti-parti gabungan ini.
"Parti masing-masing pula akan mengusulkan nama (untuk pembentukan kabinet)," katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun itu tiba di Bangunan Perdana Putra di sini pada jam 9.52 pagi bagi memulakan tugas sebagai Perdana Menteri ke-10 secara rasmi.
Beliau selepas itu menuju ke pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.
#Anwar Ibrahim #kabinet #Kerajaan Perpaduan #gaji menteri