PM wakili Keluarga Malaysia ucap takziah atas pemergian Ali Hamsa

Astro Awani
April 21, 2022 03:32 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili Keluarga Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ali Hamsa yang meninggal dunia di Dublin, Ireland hari ini.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili Keluarga Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa yang dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri turut mendoakan agar keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan ini.
"Mendapat perkhabaran sedih di atas pemergian Tan Sri Dr Ali Bin Hamsa, bekas Ketua Setiausaha Negara ke-13, yang telah kembali ke rahmatullah pagi ini, 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H.
"Mewakili Keluarga Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini.
"Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari tahun 2012 hingga 2018 dan seorang tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan," katanya.
Ujarnya lagi, Allahyarham telah menabur jasa dan banti selama berkhidmat dan pemergian Allahyarham kehilangan besar buat negara.
Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan Allahyarham meninggal dunia pada usia 66 tahun di Hospital Dublin, Ireland.
#meninggal dunia #Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #Tan Sri Ali Hamsa #Tan Sri Mohd Zuki Ali