KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan terus diberi perhatian dalam perancangan Belanjawan 2027 sejajar dengan peranannya sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan komited memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat termasuk pemain PMKS.
“Saya rasa PMKS adalah satu tulang belakang ekonomi yang ada. Dari segi penekanan kerajaan, kita akan memberi perhatian yang lebih kepada PMKS semasa Belanjawan 2027.
"Kita melihat ekonomi Malaysia terus berkembang. Apa yang ingin dipastikan ialah manfaat daripada pertumbuhan ekonomi itu dapat dirasai oleh seluruh rakyat serta dinikmati PMKS khususnya," katanya ketika berucap pada acara Cerita Mereka, Jiwa Malaysia sempena Karnival BSN Mikro MADANI, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, kerajaan kini dalam proses meneliti inisiatif bersesuaian bagi membantu merancakkan lagi perniagaan PMKS.
Pelbagai cadangan juga telah diterima daripada agensi berkaitan serta menerusi sesi libat urus yang telah diadakan.
Amir Hamzah berkata setiap cadangan akan dinilai berdasarkan keberkesanan pelaksanaan, impak kepada rakyat dan perniagaan serta kesesuaiannya dengan kedudukan fiskal negara.
Selain pemerkasaan PMKS, Belanjawan 2027 turut dijangka memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober depan.