SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

PMKS boleh manfaat subsidi LPG - Fuziah

Bernama 21/08/2025 | 08:20 MYT
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak melaksanakan penyasaran subsidi bagi produk gas petroleum cecair (LPG), sekali gus membolehkan semua perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus menikmati manfaat subsidi tersebut.


Ringkasan AI
  • Kerajaan tidak melaksanakan penyasaran subsidi LPG, membolehkan PMKS terus menikmati manfaat subsidi, khususnya dalam sektor makanan dan minuman.
  • Sebanyak 489 kes penyelewengan subsidi LPG dikesan sejak 2024, melibatkan rampasan bernilai RM3.1 juta.
  • KPDN melancarkan Operasi Gas Memasak (Op Gasak) bagi membanteras penyalahgunaan subsidi LPG oleh sektor komersial dan industri besar, termasuk aktiviti haram seperti decanting.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sehubungan itu, penggunaan subsidi LPG oleh PMKS, terutama dalam sektor makanan sewajarnya tidak melibatkan kenaikan harga produk jualan mereka.

"Buat masa ini, kerajaan akan memastikan subsidi keperluan penggunaan LPG dinikmati oleh isi rumah dan peniaga mikro serta sederhana, terutamanya sektor makanan dan minuman," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin mengetahui langkah kerajaan membanteras ketirisan subsidi LPG selain usaha mengurangkan beban kos PMKS seperti warung dan gerai makan, dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi LPG kepada sektor komersial.

Sementara itu, Fuziah berkata sebanyak 489 kes melibatkan aktiviti penyelewengan subsidi LPG dikesan, membabitkan nilai rampasan berjumlah RM3.1 juta sejak 2024 hingga 18 Ogos lepas.

Bagi membanteras kegiatan penyelewengan itu, katanya, kementerian itu telah melancarkan "Operasi Gas Memasak" atau Op Gasak bermula 1 Mei hingga 31 Okt ini, dengan sasaran menangani penyalahgunaan subsidi LPG oleh sektor tidak layak dalam industri komersial dan perniagaan berskala besar.

"Antara bentuk penyelewengan yang disasarkan ialah menangani kegiatan 'decanting', iaitu pemindahan LPG secara haram daripada tong bersubsidi ke tong industri ataupun tong komersial.

"KPDN turut akan memanfaatkan penggunaan teknologi digital bagi memperkasa pemantauan serta penguatkuasaan berkaitan pengedaran, penyimpanan dan penggunaan LPG bersubsidi di pasaran," katanya.

-- BERNAMA




#PMKS #subsidi LPG #Fuziah Salleh #Dewan Rakyat