KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM3 juta tidak diwajibkan untuk melaksanakan e-Invois susulan kenaikan nilai ambang pelaksanaan e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam kenyataan berkata ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 pada hari ini untuk menaikkan nilai ambang pelaksanaan e-Invois itu berkuat kuasa mulai 1 Sept.
"Pengumuman ini turut memberi manfaat kepada keseluruhan lebih 1.1 juta peniaga yang mendapat pengecualian," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, ikhtiar Kerajaan MADANI tersebut mencerminkan keprihatinan dalam meringankan beban pematuhan dan kos yang ditanggung oleh PMKS di samping memberi ruang kepada golongan peniaga untuk terus memberi tumpuan kepada kelangsungan dan pengembangan perniagaan.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut kerajaan amat menggalakkan penyertaan PMKS secara sukarela dalam pelaksanaan e-Invois selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan perniagaan.
LHDN juga katanya komited dalam memastikan kelancaran pelaksanaan e-Invois dengan mengambil pendekatan secara aktif melalui pelaksanaan aktiviti pendidikan, program bimbingan (hand-holding) dan sesi libat urus secara berterusan.
"Inisiatif ini turut merangkumi panduan dan tutorial penggunaan Portal MyInvois, aplikasi MyInvois dan MyInvois e-POS bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai pelaksanaan e-Invois dalam kalangan PMKS," kata kenyataan itu.
LHDN memaklumkan sejak pelaksanaan e-Invois mulai 1 Ogos 2024, sebanyak 265,379 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran lebih 1.84 bilion e-Invois.
Pencapaian itu menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai termasuk PMKS terhadap pelaksanaan e-Invois sebagai langkah transformasi untuk mendigitalkan operasi perniagaan dan memastikan transaksi direkod atau disimpan secara teratur, katanya.
Perincian lanjut berkaitan pelaksanaan e-Invois boleh diperoleh melalui Laman Mikro e-Invois atau pautan https://www.hasil.gov.my/e-invois.
Pembayar cukai juga boleh menghubungi LHDN melalui saluran khas e-Invois dengan berkunjung ke Pejabat LHDN, menghubungi Meja Bantuan e-Invois di talian 03-8682 8000 atau MyInvois Live Chat, menurut LHDN.
Pertanyaan umum turut boleh dilakukan menerusi emel [email protected] dan Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, sekali gus mengecualikan perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta daripada kewajipan melaksanakannya.
-- BERNAMA