MALAYSIA

PMKS perlu bersedia adaptasi ESG atau berisiko terpinggir dalam rantaian bekalan global - Ewon

Bernama 28/06/2025 | 14:00 MYT
Ewon berkata syarikat besar termasuk GLC dan MNC kini menjadikan pematuhan ESG sebagai antara kriteria utama dalam keputusan perolehan dan pelaburan. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini perlu bersedia mengadaptasi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) atau berisiko terpinggir dalam rantaian bekalan global, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata syarikat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) kini menjadikan pematuhan ESG sebagai antara kriteria utama dalam keputusan perolehan dan pelaburan.
Sehubungan itu, beliau berkata ESG semakin menjadi keperluan penting bagi PMKS untuk kekal relevan serta menembusi pasaran antarabangsa.
"ESG bukan sekadar satu trend. ESG adalah masa depan. Ia bukan hanya mengenai pemeliharaan alam sekitar tetapi juga merangkumi cara pengurusan perniagaan yang bertanggungjawab terhadap masyarakat dan pekerja serta amalan tadbir urus yang telus dan beretika.
"Walaupun pematuhan ESG belum diwajibkan, keperluannya semakin mendesak khususnya dalam rantaian bekalan domestik dan antarabangsa," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kesedaran ESG untuk PMKS di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Dr Kasim Mansor, Pengerusi SME Corp Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy.
Ewon berkata penganjuran seminar itu tepat pada masanya bagi meningkatkan kefahaman serta kesediaan PMKS terhadap keperluan dan pelaksanaan ESG dalam operasi perniagaan mereka.
Menurutnya inisiatif itu juga mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui agensinya dalam memperkasakan budaya dan mengadaptasi amalan ESG dalam kalangan PMKS di negara ini.
"Ini terutamanya untuk membantu PMKS menembusi rantaian bekalan GLC dan MNC serta pasaran antarabangsa yang kini menetapkan pengamalan ESG sebagai syarat utama," katanya.
Beliau berkata agensi di bawah KUSKOP, SME Corp Malaysia memperkenalkan Garis Panduan ESG untuk PMKS yang dilancarkan awal tahun lepas sebagai antara usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan ESG dalam kalangan usahawan tempatan.
-- BERNAMA
#GLC #rantaian bekalan #usahawan tempatan #pasaran antarabangsa