MALAYSIA

PMS tawar penyelesaian adil kepada peneroka Felda

Hasimi Muhamad 07/07/2025 | 05:45 MYT
Wan Zawawi (kiri) turut menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menuduh peneroka sebagai punca ketirisan hasil sawit kerana menjual ke luar sistem. - Foto Felda
KUALA LUMPUR: Program Pusat Mengumpul Sawit (PMS) yang diperkenalkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dilihat sebagai satu pendekatan penyelesaian berimpak tinggi bagi menangani kemelut yang sekian lama membelenggu para peneroka, khususnya melibatkan isu pengurusan hasil, akaun individu dan sistem bayaran yang lebih adil.


Ringkasan AI
  • Program Pusat Mengumpul Sawit (PMS) diperkenalkan sebagai solusi berimpak tinggi untuk menangani isu lama peneroka seperti akaun individu, sistem bayaran tidak adil dan ketirisan hasil sawit.
  • PMS memberi peluang kepada penerokasama ada yang mengurus kebun sendiri atau di bawah FPMSB untuk menerima bayaran terus ke akaun individu, tanpa orang tengah, serta mengurus kebun dengan lebih berdikari.
  • PMS Damar Berkat memperkenalkan sistem timbang telus, teknologi kebolehjejakan dan pengumpulan berpusat, sekali gus mengurangkan manipulasi harga dan meningkatkan pulangan bersih peneroka.


Anak peneroka Felda Chiku 01, Wan Zawawi Wan Zain berpandangan bahawa PMS wajar dinilai secara objektif kerana ia menawarkan ruang penyelesaian bukan sahaja kepada peneroka yang menguruskan kebun secara persendirian, malah turut memberi manfaat kepada mereka yang masih di bawah pengurusan FELDA Plantations Management Sdn. Bhd. (FPMSB).

Jelasnya, PMS juga bukan sekadar pusat pengumpulan, tetapi satu transformasi untuk mengembalikan keyakinan peneroka.

"Selain mampu tingkatkan hasil, PMS mampu pulihkan kepercayaan dan kukuhkan semula hubungan antara warga peneroka dan pengurusan Felda.

“Isu ketiadaan akaun individu telah lama menjadi rungutan peneroka. Ramai daripada mereka terpaksa menumpang akaun rakan untuk menjual hasil sawit ke kilang FGV, atau lebih teruk menjual kepada pembeli luar konon dengan komisen tinggi.

“Malah, ada yang dituduh enggan membayar hutang. Hakikatnya, permohonan akaun individu sudah dibuat sejak lama tapi tidak dilayan. Bila tiada paysheet, mereka tiada pilihan selain menjual hasil keluar,” kata Wan Zawawi.

Tambahnya, data seminar Felda-KPF 2024 menunjukkan lebih 15,000 peneroka memilih untuk tidak menghantar hasil ke kilang FGV, antara lain berpunca daripada kelemahan sistem ‘grading’, bayaran tertunda, dan kekurangan tenaga kerja ladang.

Bagaimanapun melalui PMS, ujarnya hasil akan dikumpulkan secara berpusat, disemak kualitinya, selain peneroka akan menerima bayaran terus ke akaun individu tanpa orang tengah.

"Buah muda atau yang tidak diterima kilang pula akan dikembalikan kepada peneroka.

"Peneroka tidak lagi perlu menumpang akaun rakan atau menjual kepada pembeli luar yang ambil komisen tinggi. Ini sistem yang lebih telus dan adil. Bayaran pun dibuat terus ke akaun masing-masing.

“PMS juga memberi ruang untuk mereka mula mengurus kebun sendiri dengan paysheet individu. Malah, potongan seperti RM26 satu tan yang dikenakan kepada peneroka FPM diyakini akan dihentikan jika mereka mula menguruskan sendiri kebun masing-masing," tambahnya.

Wan Zawawi turut menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menuduh peneroka sebagai punca ketirisan hasil sawit kerana menjual ke luar sistem.

Menurutnya, tuduhan sedemikian adalah tidak adil kerana isu sebenar berpunca daripada dasar pengurusan yang tidak inklusif dan kurang mengambil kira suara serta keperluan peneroka sendiri.

Sebelum ini, Felda menyasarkan untuk memperluaskan PMS Damar Berkat ke lebih 40 lokasi di seluruh negara.

PMS Bukit Damar juga mengamalkan sistem lebih telus dan sihat dengan tiada unsur penipuan timbang ditambah dengan sistem kebolehjejajakan dan teknologi lebih bersepadu oleh syarikat Sustainable Future Sdn Bhd.





#Felda #Program Pusat Mengumpul Sawit #peneroka Felda #PMS Damar Berkat