[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

PN gesa batal peluasan SST, pertimbang laksana GST pada kadar munasabah

Astro Awani 17/06/2025 | 14:04 MYT
Muhyiddin (gambar) mencadangkan kerajaan untuk mencari kaedah lain mengatasi masalah fiskal negara termasuk mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar yang lebih munasabah. - FB/Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membatalkan cadangan kenaikan tarif elektrik dan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini.
Sehubungan itu Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kerajaan untuk mencari kaedah lain mengatasi masalah fiskal negara termasuk mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar yang lebih munasabah.
Dalam catatan di Facebooknya, beliau berkata, pelaksanaan SST dalam bentuk yang ada sekarang memberi kesan yang lebih buruk kepada rakyat dan ekonomi negara berbanding sistem GST yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Walaupun SST dikatakan (dilaksanakan) bersasar, beliau memberitahu, kesan kenaikan harga barang dan kos sara hidup akibat peluasan skop cukai dan penghapusan subsidi akan dirasai seluruh rakyat.
Katanya, pelaksanaan cukai yang tidak masuk akal semata-mata untuk menambah hasil kerajaan sebanyak RM10 bilion tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.
“Ke manakah hasil RM10 bilion ini akan dibelanjakan? Kenapa kerajaan tidak menunggu pelaksanaan peluasan skop SST sehingga pembentangan Bajet 2026 supaya ahli-ahli Parlimen boleh membahaskan rasional peluasan cukai ini?," katanya.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Pagoh itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan tergesa-gesa melaksanakan peluasan skop sst sebelum pembentangan belanjawan 2026 yang mana ia boleh dibahaskan secara rasional oleh ahli-ahli Parlimen.
Selain itu, Muhyiddin berkata daripada sejumlah 8,094 barangan yang sebelum ini dikecualikan SST, hanya 1,813 barangan sahaja yang benar-benar termasuk dalam senarai itu sekali gus menyaksikan lebih 90 peratus barangan kini dikenakan cukai tersebut.
#Cukai Jualan dan Perkhidmatan #peluasan SST #percukaian #kos sara hidup