MALAYSIA

PN gesa tangguh dulu subsidi bersasar, batal perluasan skop cukai perkhidmatan

Hasimi Muhamad 15/06/2025 | 05:30 MYT
Radzi berkata, PN menegaskan pelaksanaan hampir serentak perluasan skop cukai perkhidmatan, kenaikan tarif asas elektrik dan subsidi bersasar, bakal memberi tekanan berganda kepada rakyat - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa agar kerajaan menangguhkan dahulu pelaksanaan subsidi bersasar kerana mengambil kira tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat dan kerangka yang belum jelas.


Ringkasan AI
  • PN gesa tangguh subsidi bersasar: Perikatan Nasional meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar, perluasan cukai perkhidmatan dan kenaikan tarif elektrik kerana bimbang kesan berganda terhadap kos sara hidup rakyat.
  • Kebimbangan terhadap impak ekonomi: PN menyatakan bahawa pelaksanaan serentak dasar fiskal ini akan menjejaskan rakyat termasuk golongan bukan T15, serta memberi kesan kepada rantaian bekalan dan kos pengeluaran.
  • Cadangan alternatif: PN mencadangkan pembentukan agensi tunggal untuk menyelaras bantuan rakyat dan menekankan keperluan kerangka percukaian serta jaringan keselamatan sosial yang holistik sebelum dasar dilaksanakan


Ketua Penerangan PN, Datuk Radzi Jidin berkata, PN juga menegaskan pelaksanaan hampir serentak perluasan skop cukai perkhidmatan, kenaikan tarif asas elektrik dan subsidi bersasar, bakal memberi tekanan berganda kepada rakyat.

Jelas beliau, realitinya rakyat terbanyak tetap akan terkesan, sebagaimana impak kenaikan dan perluasan skop SST serta peningkatan harga diesel yang berlaku pada tahun 2024.

"Jika kenaikan tarif asas ini dan perluasan skop perkhidmatan dilaksanakan seperti mana yang dijadualkan, iaitu pada 1 Julai 2025, jelas bahawa kerajaan langsung tidak memikirkan kebajikan rakyat dan kesan tindakan mereka kepada ekonomi negara.

"Sepertimana kenaikan kos tenaga yang lain, kenaikan harga petrol akan memberi kesan langsung serta tidak langsung kepada rantaian bekalan, khususnya dalam konteks kenaikan kos pengeluaran.

"Akhirnya, kenaikan ini akan menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat, termasuk mereka yang tidak berada dalam kumpulan T15," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.


Ahli Parlimen Putrajaya itu menambah, PN mendesak agar kerajaan membatalkan perluasan skop cukai perkhidmatan sehingga mereka benar-benar mempunyai kerangka cukai yang holistik dan jelas agar tidak membebankan rakyat terbanyak.

Selain itu, gabungan parti politik itu berpandangan amat penting satu sistem jaringan keselamatan sosial yang holistik, sistematik dan teratur dibentuk sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.

Ujar beliau lagi, PN turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah agensi tunggal yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menyelaras bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

"Oleh yang demikian, kerajaan perlu mempunyai kerangka percukaian yang holistik dan jelas sebelum sebarang dasar dilaksanakan bagi menjamin dasar tersebut tidak terlalu membebankan rakyat dan peniaga," tambah Radzi.

Mulai 1 Julai ini, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Sementara,Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 26 Disember 2024 menyatakan tarif asas elektrik dijangka dinaikkan mulai 1 Julai.





#Perikatan Nasional #subsidi bersasar #kos sara hidup #berita dalam negara #terkini #SST