KOTA BHARU: Proses pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) di enam negeri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan mengguna pakai formula sepertimana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata calon Pas akan dikekalkan di kawasan yang dimenangi parti itu manakala calon Bersatu akan dipertaruhkan di kawasan yang dimenangi UMNO.

"Itulah asas perbincangan kita sepertimana PRU sebelum ini. Mana-mana kerusi yang dimenangi UMNO kita bagi kepada Bersatu bertanding manakala yang di kawasan Pas menang kita kekalkan calon Pas bertanding," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sayyidina Khadijah di Dewan Besar Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.

Mohd Amar, bagaimanapun, berkata beberapa pengubahsuaian peringkat akhir mungkin dilakukan bagi kawasan-kawasan di peringkat negeri Kelantan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar, berkata semua senarai akhir calon yang akan bertanding bagi PRN negeri itu sudah diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan, untuk dimuktamadkan.

"Kita ada tiga calon bagi setiap kerusi. Jadi terpulang kepada Menteri Besar untuk memilih calon mana yang terbaik daripada senarai tersebut.

"Kita juga akan meneruskan amalan biasa dengan mengetengahkan 30 peratus muka baharu yang diyakini boleh mewakili parti. Muka baharu tu tidak semestinya orang muda tetapi orang yang sebelum ini tidak pernah bertanding," katanya.

Mengulas berhubung permohonan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa, menyertai Pas, Mohd Amar berkata permohonan tersebut akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat dalam mesyuaratnya bulan hadapan.

-- BERNAMA