MALAYSIA
PNSB menerajui transformasi strategik Pulau Carey melalui kerjasama tiga hala

Majlis pertukaran dokumen disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - Foto PNSB
PERMODALAN Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor, terus membuktikan peranan aktifnya sebagai peneraju pembangunan strategik negeri apabila memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) yang bersejarah: MoU PNSB bersama Yayasan Selangor, MoU PNSBbersama SD Guthrie Berhad dan MoU PNSB bersama IJM Corporation Berhad. Ketiga-tiga MoU ini memfokuskan kepada pembangunan dua komponen utama di Pulau Carey: Taman Edu-Tek (Edu-Technology Park) dan Hab Sekuriti Makanan, menjadikan kawasan tersebut sebagai hub ekonomi baharu bertaraf global di Selangor.
Majlis pertukaran dokumen disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Datuk Seri Amirudin Shari,yang turut menzahirkan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pintar, hijau dan berdaya saing di rantau ASEAN. Disempurnakan di Foyer SUK, Shah Alam, pada 8 Julai 2025, majlis ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, pengurusan tertinggi syarikat terlibat serta pemain industri yang menyokong pelan transformasi jangka panjang ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, pelaksanaan projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal semata-mata, tetapi mencerminkan keazaman PNSB untuk mencipta peluang baharu bagi negeri dan rakyat Selangor. “Sebagai anak syarikat kerajaan negeri, kita tidak menunggu peluang jatuh ke tangan kita. Sebaliknya, kita memilih untuk menjadi pelopor –'we create and shape opportunities to trailblaze and be the first mover',” ujar beliau dalam ucapannya.
Dua Arah Pembangunan Berimpak TinggiProjek pembangunan Taman Edu-Tek akan menampilkan elemen-elemen revolusioner dalam ekosistem teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau serta infrastruktur pintar. Bersama Yayasan Selangor, PNSB akan memastikan pembangunan ini turut menyokong pembinaan kampus bertaraf antarabangsa yang mampu memperkasa modal insan generasi muda Selangor secara holistik.
Dalam masa yang sama, Hab Sekuriti Makanan pula dijangka menjadi pusat pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran makanan halal bagi pasaran domestik dan antarabangsa. Dengan pembinaan kemudahan silo, sistem rantaian sejuk, dan logistik agro bertaraf dunia, inisiatif ini diselaraskan dengan Agenda Sekuriti Makanan Nasional 2030 dan berupaya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat agromakanan halal serantau.
Raja Ahmad Shahrir turut menegaskan bahawa projek ini akan menjadi perintis kepada visi transformasi pembangunan ekonomi Pulau Carey, sekali gus menempatkan Selangor dalam radar pelabur global. Minat yang ditunjukkan oleh pelabur dari China dan Timur Tengah sejak tahun 2024 susulan perjanjjian awal bersama PNSB membuktikan kebolehpercayaan dan daya tarikan projek yang digerakkan oleh PNSB.
Gabungan Strategik yang Kukuh
Kerjasama dengan SD Guthrie Berhad membolehkan PNSB mengakses tanah seluas lebih 470 ekar untuk dibangunkan di Pulau Carey, di mana Guthrie sendiri memiliki 79% keseluruhan kawasan pulau itu.
Sementara itu, IJM Corporation Berhad sebagai pemaju infrastruktur dan perindustrian, akan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pembangunan bersepadu, seiring dengan kepakaran mereka yang terbukti dalam projek seperti Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP).
Melalui gabungan strategik ini, PNSB berjaya mengintegrasikan peranan sektor kerajaan, pendidikan, dan korporat dalam satu rangka tindakan yang jelas dan mampan. Falsafah tadbir urus lestari (ESG) dijadikan teras pelaksanaan projek, bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, serta kesejahteraan komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey.
Kepimpinan dan Visi yang Progresif
Kepimpinan Raja Ahmad Shahrir Iskandar dalam mengemudi inisiatif ini jelas memperlihatkan pendekatan progresif yang tidak hanya menumpukan keuntungan ekonomi semata-mata, tetapi meletakkan pembangunan manusia dan nilai kemasyarakatan sebagai agenda utama. Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan dalaman PNSB, termasuk penasihat strategik Dato’ Wan Hashimi dan Dato’ Zamri, yang membawa pengalaman sejak era pembangunan mega 1990-an.
“Projek ini bukan sahaja akan memberi impak besar kepada landskap ekonomi Selangor, tetapi juga akan mengangkat peranan PNSB sebagai ejen pembangunan masa depan yang menyeluruh – dari sudut pendidikan, teknologi, makanan, serta kesejahteraan sosial,” tambah beliau.
Menjulang Pulau Carey sebagai Simbol Masa Depan Selangor
Dengan kejayaan termeterainya MoU ini, PNSB membuktikan bahawa anak syarikat kerajaan negeri mampu menjadi perintis dan pelaksana utama agenda pembangunan berimpak tinggi. Pulau Carey bukan sekadar satu kawasan geografi, tetapi akan menjadi simbol kepada wawasan negeri Selangor – sebuah negeri maju, progresif dan berdaya saing tinggi di pentas dunia.
“Ini bukan permulaan kepada satu projek, tetapi permulaan kepada satu legasi.”
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami