Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pokok tumbang bukan lagi isu terpencil, perlu audit berkala dan pendekatan berasaskan data - KP JBPM

POKOK TUMBANG_JBPM
Nor Hisham berpandangan langkah paling berkesan bukan hanya memperkukuh tindak balas kecemasan selepas kejadian berlaku, tetapi memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti pokok berisiko lebih awal. - Gambar hiasan
Advertisement

PUTRAJAYA: Kejadian pokok tumbang di Malaysia tidak lagi boleh dianggap sebagai insiden terpencil yang hanya berlaku ketika musim hujan, sebaliknya memerlukan pendekatan pencegahan yang lebih sistematik menerusi audit keselamatan berkala, perkongsian data antara agensi serta penyelenggaraan konsisten.

Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan sebanyak 26,001 kes pokok tumbang direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga Jun lepas, dengan kejadian itu mengorbankan 50 nyawa serta menyebabkan 243 lagi cedera.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang, kekal tinggi secara konsisten antara 4,400 hingga 5,200 kes setahun, manakala bagi separuh pertama 2026 sahaja sebanyak 1,912 kes direkodkan.

“Sepanjang tempoh tersebut, kejadian pokok tumbang telah mengakibatkan 50 kematian dan 243 kecederaan, manakala 360 mangsa berjaya diselamatkan tanpa kecederaan.

“Data ini menunjukkan bahawa walaupun jumlah kes tidak meningkat secara konsisten, kejadian pokok tumbang masih memberi risiko yang serius terhadap keselamatan awam,” katanya kepada Bernama. 

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran antara empat yang terkorban dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur menuju ke pintu gerbang Janda Baik, Bentong, pada 3 Ogos.

Pada 19 Julai, seorang lelaki berusia 43 tahun maut selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang berhampiran Kedutaan Singapura di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Nor Hisham berkata antara faktor utama yang dikenal pasti menyebabkan kejadian pokok tumbang ialah kejadian ribut petir yang disertai angin kencang dan hujan lebat, khususnya semasa fasa peralihan monsun.

“Hujan berterusan boleh menyebabkan tanah menjadi tepu dan mengurangkan kestabilan sistem akar pokok sekali gus meningkatkan risiko pokok tumbang.

“Selain faktor cuaca, keadaan fizikal pokok seperti pokok yang telah berusia, berpenyakit, reput atau mempunyai struktur akar dan dahan yang lemah turut menyumbang kepada kejadian tersebut,” katanya.

Namun Nor Hisham berkata kejadian pokok tumbang lazimnya bukan berpunca daripada satu faktor semata-mata, sebaliknya melibatkan gabungan cuaca ekstrem, keadaan fizikal pokok dan tahap penyelenggaraan.

Sebagai contoh, siasatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang baru-baru ini mendapati punca pokok angsana berusia 90 tahun yang tumbang di Jalan Macalister, Pulau Pinang, pada 3 Ogos disebabkan akar yang reput,  rongga pada pangkal batang, pemadatan tanah kronik dan ruang perakaran yang terhad.

“Pada pandangan JBPM, kejadian pokok tumbang lazimnya bukan berpunca daripada satu faktor tunggal, sebaliknya melibatkan gabungan pelbagai faktor merangkumi cuaca, keadaan fizikal pokok dan tahap penyelenggaraan.

“Walau bagaimanapun, berdasarkan corak kejadian yang sering dihadapi dalam operasi, cuaca ekstrem seperti ribut petir, hujan lebat dan tiupan angin kencang merupakan pencetus utama yang menyebabkan pokok atau dahan tumbang secara tiba-tiba,” katanya.

Sehubungan itu, Nor Hisham berpandangan langkah paling berkesan bukan hanya memperkukuh tindak balas kecemasan selepas kejadian berlaku, tetapi memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti pokok berisiko lebih awal.

Beliau berkata JBPM menyokong supaya audit dan penilaian keselamatan pokok dilaksanakan secara berkala khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti jalan utama, sekolah, hospital, taman awam, kawasan perumahan dan lokasi tumpuan orang ramai.

“Audit tersebut perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), pemilik premis atau agensi yang bertanggungjawab dengan melibatkan pegawai atau pakar yang berkelayakan. Pemeriksaan hendaklah merangkumi keadaan batang, dahan, kanopi, sistem akar, tahap kecondongan, tanda-tanda pereputan, penyakit serta kesan kerja pembangunan di sekitar pokok,” katanya.

Nor Hisham berkata kekerapan pemeriksaan juga wajar ditentukan berdasarkan tahap risiko, usia dan keadaan pokok serta lokasi penanamannya.

“Pokok yang telah dikenal pasti berisiko tinggi perlu diberi tindakan segera seperti pemangkasan, rawatan, pemasangan sokongan atau penebangan terkawal sekiranya boleh mengancam keselamatan awam.

“JBPM berpandangan bahawa audit secara berkala membolehkan tanda-tanda awal kegagalan struktur pokok dikenal pasti sebelum berlaku kejadian, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan, kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan gangguan kepada laluan awam,” katanya.

Beliau berkata meskipun pengurusan dan penyelenggaraan pokok berada di bawah bidang kuasa pihak berkaitan, JBPM bersedia bekerjasama dari aspek perkongsian maklumat insiden, pengenalpastian lokasi yang kerap berlaku kejadian serta penyelarasan kesiapsiagaan menghadapi cuaca buruk.

Dalam usaha memperkukuh pencegahan, Nor Hisham mencadangkan supaya perkongsian data lokasi kejadian pokok tumbang direkodkan JBPM dimanfaatkan sepenuhnya PBT bagi mengenal pasti kawasan yang sering berulang insiden.

“Kerjasama lain yang boleh diperkukuh merangkumi pemetaan kawasan berisiko tinggi, pemeriksaan bersama, penyelarasan tindakan sebelum musim tengkujuh atau tempoh cuaca buruk dan saluran pelaporan yang lebih pantas.

“JBPM berpandangan bahawa kerjasama sedia ada berada pada landasan yang baik, namun pendekatan yang lebih sistematik dan berasaskan data perlu dipertingkatkan,” katanya.

Mengulas kesiapsiagaan operasi, Nor Hisham berkata JBPM mempunyai keanggotaan, jentera dan peralatan yang mencukupi untuk menangani insiden pokok tumbang pada skala biasa dan setempat.

“JBPM turut bekerjasama dengan PBT, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), syarikat utiliti, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan bagi mempercepat kerja pengalihan pokok, kawalan lalu lintas dan memastikan kawasan kejadian selamat,” katanya.

Beliau juga menasihatkan  orang ramai supaya sentiasa peka terhadap ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial rasmi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement