Pokok tumbang di Pulau Pinang akibat hujan lebat, angin kencang

Bernama
Ogos 9, 2018 00:59 MYT
Keadaan hujan lebat dan angin kencang kira-kira 8.45 malam itu mengakibatkan pokok tumbang di Balik Pulau dan Teluk Bahang. - Foto JBPM
Hujan lebat berserta angin kencang melanda Pulau Pinang malam tadi sehingga menumbangkan pokok di beberapa kawasan.
Keadaan hujan lebat dan angin kencang kira-kira 8.45 malam itu mengakibatkan pokok tumbang di Balik Pulau dan Teluk Bahang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata lokasi pokok tumbang di dua lokasi itu adalah berdekatan.
"Lokasi pertama dengan lokasi kedua lebih kurang 500 meter. Kerja pembersihan di lokasi pertama telah selesai. Lokasi kedua Jalan Titi Kerawang menuju ke Teluk Bahang.
"Kerja pembersihan di lokasi kedua tidak dapat dijalankan kerana terdapat kabel elektrik melintang di atas jalan dan pokok tumbang yang besar," katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada kecederaan dilaporkan dan arahan penutupan jalan sehingga kerja-kerja selesai telah diatur.
Sementara itu, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata tiga buah kereta di Jalan Terengganu, di sini dihempap pokok manakala Pangsapuri Mutiara Idaman 1 di Solok Tengku, di sini serta kuarters kerajaan berhadapan Pangsapuri Serina Bay turut terjejas apabila bumbung terbang dan pokok tumbang berikutan angin kencang itu.
-- BERNAMA
#A A Anbalagan #angin kencang #hujan #kabel elektrik #pembersihan #pokok #pulau pinang #tumbang