[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

Polemik politik tanpa asas ilmu, PM Anwar tekankan pentingnya budaya membaca

Asyraf Malik 01/06/2025 | 05:15 MYT
Anwar menegaskan pentingnya budaya membaca untuk membina masyarakat berilmu dan mengelakkan kemunduran pemikiran serta perbahasan isu remeh. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penganjuran acara tahunan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) wajar untuk menyemarak budaya membaca yang merupakan jambatan ilmu dalam masyarakat.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya budaya membaca untuk membina masyarakat berilmu dan mengelakkan kemunduran pemikiran serta perbahasan isu remeh.
  • Beliau mengkritik polemik politik dan ekonomi yang berasaskan sentimen tanpa ilmu, menyeru rakyat agar membuat keputusan berasaskan pengetahuan dan etika.
  • PBAKL 2025 mencatat hampir dua juta pengunjung dengan pelbagai program baharu termasuk Galeri Khas TEROKA, yang meraikan sejarah dan keagungan karya perbukuan Malaysia.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika rakyat cetek ilmu, negara dikhuatiri menjadi mundur aras pemikiran serta selesa membahaskan topik picisan.

“Kita mahu angkat Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini dalam beberapa tahun mendatang, ini sebab amalan membaca itu perlu.

“Lihat sahaja polemik politik dan ekonomi negara kita, tiada asas ilmu, hanya sentimen kemarahan dan kebencian, lantas cepat menghukum.

“Sampai agama turut digunakan, tak setuju terus dicop kafir dan munafik. Nampak betapa dangkalnya ilmu, ini bukan gambaran negara maju,” ujar beliau dalam ucapan perasmian Majlis Penutup PBAKL 2025, di sini, pada Ahad.

Tambah Anwar, kebijaksanaan bukan bersandarkan pengaruh atau kelantangan suara, sebaliknya ilmu di dada.

“Setiap orang perlu dipertanggungjawabkan, apa yang kita tutur dan tulis itu jangan omong kosong, perlu disulami ilmu.

“Tahan diri daripada buat keputusan melulu, jangan terus tukar pendirian selepas baca dua baris ayat atau tengok video pendek di media sosial.

“Lakukan pembaharuan, medan bertukar pendapat itu boleh, tetapi harus ikut garis etika agar tidak melampau,” tegas Anwar.

Rekod baharu dipecah apabila hampir dua juta pengunjung hadir ke PBAKL 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 23 Mei hingga 1 Jun.

Program baharu dalam PBAKL edisi kali ini antaranya Galeri Khas TEROKA yang memberi penghormatan kepada keagungan karya Malaysia serta sejarah perbukuan negara, dari karya klasik hingga moden.

Turut hadir pada Majlis Penutup PBAKL 2025, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambri Abdul Kadir; dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.






#Anwar Ibrahim #budaya membaca #PBAKL 2025 #sentimen tanpa ilmu