KUALA LUMPUR: Apa juga polemik politik yang berlaku kini tidak sepatutnya merencatkan pelan tindakan kawalan pandemik COVID-19 sedia ada.

Menurut Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brigadier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen, jentera sebenar pengurusan kerajaan ialah agensi awam dan sebarang perubahan kepimpinan kerajaan tidak seharusnya menjejaskan kawalan dan strategi mengekang wabak.

“Memang sistem kerajaan kita ini atasnya adalah orang-orang politik, menteri-menteri dan sebagainya. Tetapi jangan kita lupa dalam pengurusan kerajaan sebenarnya jentera utama ialah agensi awam.

“Jadi agensi awam ini sepatutnya tidak terkesan dengan polemik politik yang berlaku. Walaupun sekiranya berlaku perubahan kerajaan, langkah dan strategi mesti diteruskan. Ini yang paling penting.

“Jadi kita kena kurangkan politik ini baik di peringkat akar umbi rakyat mahupun peringkat atas tertinggi dan kita mesti bersatu padu untuk menyelesaikan masalah ini secara ‘one nation approach’,” katanya dalam program AWANI Pagi, pada Sabtu.