MALAYSIA

Polis akan adakan 'post-mortem' Himpunan Turun Anwar

Yasmin Natasha 26/07/2025 | 10:58 MYT
Mohamed Usuf berkata, post moterm bertujuan menilai segala aspek pelaksanaan kawalan keselamatan dan pengurusan Himpunan Turun Anwar. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan mesyuarat post-mortem susulan penganjuran Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di ibu kota, hari ini.


Ringkasan AI
  • PDRM akan mengadakan mesyuarat post-mortem bagi menilai aspek keselamatan dan pengurusan Himpunan Turun Anwar, serta mengenal pasti penambahbaikan untuk acara akan datang.
  • Seramai 3,000 anggota polis ditugaskan bagi memastikan perhimpunan berlangsung secara aman, dengan pemantauan ketat termasuk oleh Unit Amal Pas.
  • Polis akan menyiasat ucapan yang berpotensi melanggar undang-undang, khususnya berkaitan isu 3R (raja, agama, kaum), sambil menegaskan hak berhimpun mesti kekal dalam kerangka perundangan.


Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, langkah itu bertujuan menilai segala aspek pelaksanaan kawalan keselamatan dan pengurusan perhimpunan, termasuk sebarang keperluan untuk penambahbaikan di masa akan datang.

“Setiap kali ada acara besar seperti ini, kita akan buat post-mortem. Kita akan tengok apa-apa benda yang perlu ditambah baik daripada semua pihak.

“Kalau ada yang perlu dinasihatkan, kita akan nasihatkan. Insya-Allah, kita akan buat sebaik mungkin,” katanya pada sidang media petang tadi.

Sidang Media PDRM berkenaan Himpunan Merayakan Demokrasi: Turun Anwar


Menurut beliau, seramai 3,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang perhimpunan yang berlangsung secara aman itu.

Mengulas kandungan ucapan sepanjang himpunan, Mohamed Usuf menegaskan polis akan meneliti sekiranya terdapat sebarang unsur hasutan atau kenyataan yang menyentuh isu 3R (raja, agama, kaum).

“Kalau ada ucapan yang melangkaui batas undang-undang, kita akan siasat dan ambil tindakan. Hak berhimpun secara aman memang dijamin, tetapi mesti dalam kerangka undang-undang sedia ada,” katanya lagi.

Pada hari ini, Dataran Merdeka kelihatan dibanjiri puluhan ribu peserta 'Himpunan Turun Anwar' yang tiba dengan berarak dari Masjid Negara.

Peserta mula memenuhi kawasan dataran sekitar jam 2.50 petang, dengan suasana semakin gamat apabila mereka melaungkan slogan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kawalan keselamatan di sekitar Dataran Merdeka turut diperketat dengan kehadiran pihak polis dan skuad Unit Amal Pas yang memantau secara berterusan dari awal perarakan sehingga peserta tiba di lokasi utama.





#Himpunan Turun Anwar #Polis Diraja Malaysia #Anwar Ibrahim #terkini #post mortem