Polis akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menganjurkan perhimpunan Himpunan Merah Pulau Pinang yang didakwa akan diadakan di perkarangan Komtar, di sini esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan berhubung perhimpunan berkenaan.

"Tiada pihak yang memohon permit untuk mengadakan perhimpunan berkenaan dan saya beri amaran kepada orang ramai agar tidak menghadirinya. Pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya jika perhimpunan itu diteruskan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Poster mengenai Himpunan Merah Pulau Pinang itu tersebar di beberapa blog dan laman sosial Facebook hari ini dan mendakwa ia bertujuan mendesak kerajaan negeri menarik balik larangan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang.

Perhimpunan itu dirancang diadakan esok di Komtar selepas solat Jumaat, bagaimanapun tiada pihak yang mengaku menganjurkannya.

Keputusan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah di Pulau Pinang akan diwartakan tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 Sept lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas.

Surat yang memetik cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu menyebut bahawa mesyuarat bersetuju agar Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011 mengenai larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi semua program seperti qiamulail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya.