Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Polis akan gali semula kubur Zara Qairina, keadilan sentiasa ditegakkan - Pengarah JSJ

Astro Awani 09/08/2025 | 04:25 MYT
Polis Diraja Malaysia mengesahkan akan menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir bagi menjalankan prosedur bedah siasat (post-mortem) susulan arahan Jabatan Peguam Negara.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan akan menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir bagi menjalankan prosedur bedah siasat (post-mortem) susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar S Muthuvelu, penilaian terhadap laporan mendapati terdapat keperluan mendapatkan maklumat dan bukti tambahan bagi melengkapkan siasatan kes kematian tersebut.

“Prosedur bedah siasat dan proses menggali semula akan dilaksanakan dengan kadar segera berlandaskan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Sabtu.

Beliau menegaskan, keadilan akan sentiasa ditegakkan dan semua tindakan siasatan dilakukan mengikut lunas undang-undang, berasaskan fakta serta keterangan yang diperoleh.

"Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat," ujarnya.

Semalam media melaporkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

AGC menerusi satu kenyataan memaklumkan, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan PDRM akan menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir secepat mungkin bagi melengkapkan proses siasatan.

#Zara Qairina Mahathir #Kes Zara Qairina #gali semula kubur #PDRM