Polis akan menggembleng guna tenaga semua keanggotaannya dalam pasukan itu untuk ditambahkan lagi dalam usaha ‘Operasi Daulat’ ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata beliau telah mengarahkan Pesuruhjaya Polis Sabah dan setiap ketua polis daerah di negeri Sabah ini untuk menambahkan lagi kehadiran polis terutama di kawasan operasi.

“Selain itu juga, kawalan polis di kawasa kawalan pesisiran pantai dan lokasi tertentu di daerah Lahad Datu hingga ke kawasan operasi akan dipertingkat dimana kita berkehendakan lokasi-lokasi strategi dapat ditumpukan,” kata Ismail.

Ismail berkata guna tenaga polis ini tidak hanya tertumpu kepada anggota polis dari penugasan tugas-tugas am sahaja malah ianya akan merangkumi anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Narkotik dan juga Logistik.

“Keutamaan kita adalah untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan penduduk di Felda Sahabat 17 ini dan saya juga mengharapkan anggota polis ini akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik terutama berhampiran orang ramai,” katanya lagi.

Lokasi-lokasi strategik ini meliputi juga laluan-laluan pintas yang digunakan pengganas agar langkah menutup laluan-laluan ini dapat diambil dengan segera.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail menjelaskan seorang remaja berumur 12 tahun yang ditembak oleh pihak keselamatan di sebuah belukar di Tanjung Batu tempoh hari mempunyai pertalian dengan salah seorang lelaki yang ditahan beramai-ramai di sekitar kawasan itu.