[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Polis ambil keterangan wanita buat laporan palsu dakwa dirogol

Bernama 25/11/2025 | 03:50 MYT
Hasil siasatan mendapati pengadu telah membuat laporan palsu kerana telah dimarahi oleh pihak keluarganya apabila pulang lewat ke rumah.
JOHOR BAHRU: Polis mengambil keterangan seorang wanita tempatan yang didapati membuat laporan palsu mendakwa dirogol dan dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii oleh seorang pemandu e-panggilan di Kangkar Pulai, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata hasil siasatan mendapati laporan polis yang dibuat wanita berusia 25 tahun dan tidak bekerja itu adalah palsu.

"Kita menerima laporan polis dibuat wanita berkenaan ada 10.27 pagi semalam. Dia mendakwa telah dirogol dan dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii dalam kereta pemandu e-panggilan di kawasan Jalan Pulai Perdana, Kangkar Pulai di sini pada 8.30 malam kelmarin.

"Hasil siasatan mendapati pengadu telah membuat laporan palsu kerana telah dimarahi oleh pihak keluarganya apabila pulang lewat ke rumah," katanya menerusi kenyataan.

Beliau dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu bagi membolehkan pihak polis membantu mangsa-mangsa sebenar kejadian jenayah yang lebih memerlukan.

Katanya, perbuatan membuat laporan palsu adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh enam bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

--BERNAMA






#laporan polis palsu #rogol #pulang lewat #e-panggilan