Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan pengawasan yang teliti di sekitar perairan Sabah, susulan insiden penculikan dua rakyat Malaysia di Sandakan pada 14 Mei lalu.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan keselamatan rakyat di Sabah adalah terkawal.

Katanya polis juga sehingga kini masih berusaha menjejaki kedua-dua mangsa yang diculik itu.

"Saya memberi jaminan kepada keluarga mangsa dan rakyat Sabah bahawa polis sedang lakukan yang terbaik demi keselamatan mereka. Polis telah menghantar pasukan untuk berunding dengan pihak di Filipina bagi membebaskan kedua-dua mangsa yang ditawan penculik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Kejohanan Boling Sukan Empat Penjuru (Sukep) di sini pada Sabtu.

Pada 14 Mei lalu seorang wanita Thien Nyuk Fun, 50, dan seorang lelaki Bernard Then Ted Fen, 39, diculik empat lelaki bersenjata yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan kira-kira 7.45 malam.

Kedua-duanya kini dipercayai berada di kawasan pedalaman selatan Filipina yang bersempadan dengan Sabah.

Sementara itu, Khalid berkata PDRM akan membantu Polis Thailand mengesan suspek utama insiden pengeboman di Bangkok, yang mungkin berada di Malaysia.

Pada 17 Ogos lepas, serangan bom berhampiran Kuil Erawan di ibu negara Thailand itu mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan mengakibatkan 130 orang lagi cedera.

Pada 28 Sept lepas, polis Thailand telah mengumumkan secara rasmi identiti lelaki yang disyaki bertanggungjawab dalam serangan bom berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Khalid ketika diminta mengulas mengenai kelewatan pihak berkuasa mengesan tujuh murid Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lalu berkata pihaknya akan melihat semua kaedah operasi yang dijalankan.

"Kita akan kaji balik kenapa terlepas masa pencarian awal tetapi saya sudah beritahu pada mula lagi yang kita tak pernah menghentikan usaha mencari mereka," katanya.

Dalam kejadian 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Dua daripada mereka ditemui selamat semalam, iaitu Miksudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaakob, 10, manakala Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia.

Tiga yang masih belum ditemui adalah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8, dan Haikal Yaakob, 8.
-