Polis beri kelonggaran peserta RXZ Members Ride 3.0

Dzulkhairi (dua dari kiri) pada Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025.
AYER KEROH: Polis Melaka memberi kelonggaran kepada peserta RXZ Members Ride Edition 3.0 untuk berhimpun di negeri ini namun tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dengan lumba haram atau tunggangan berbahaya.
Ringkasan AI
- Polis Melaka memberi kelonggaran kepada peserta RXZ Members Ride Edition 3.0 untuk berhimpun namun tindakan tegas akan diambil terhadap lumba haram atau tunggangan berbahaya.
- Ketua Polis Melaka menyatakan bahawa keselamatan awam adalah fokus utama polis, dengan 150 anggota polis dikerahkan untuk menjaga keselamatan program yang dijangka menyertai antara 100,000 hingga 150,000 peserta.
- Polis Melaka menegaskan bahawa tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang, sambil memberi amaran kepada peserta untuk menjaga keselamatan diri, kenderaan, dan barangan peribadi semasa program RXZ tersebut.
“Walaupun kelonggaran diberikan, polis tidak akan berkompromi terhadap perbuatan melanggar undang-undang.
“Jika melibatkan lumba haram, tunggangan berbahaya atau perbuatan yang boleh membahayakan orang lain, kita akan ambil tindakan tegas.
“Bagi kesalahan lain, polis menggunakan budi bicara. Peserta datang dari jauh, biarlah semua pihak pergi dan balik dalam keadaan gembira,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di Dataran MITC di sini, malam Jumaat.
Dzulkhairi berkata, tiada sebarang penutupan jalan dibuat sempena penganjuran program berkenaan.
Jelas beliau, persiapan bagi penganjuran program itu telah dilakukan sejak dua minggu lalu bagi memastikan kelancaran serta keselamatan semua pihak.
“Kita mahu pastikan tahap disiplin peserta, keselamatan diri dan kenderaan menjadi keutamaan.
“Peserta yang menginap di hotel atau penginapan sekitar Melaka juga dinasihatkan supaya menjaga keselamatan motosikal, aksesori kenderaan serta barangan peribadi bagi mengelakkan kes kecurian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa setakat ini terdapat satu kes kemalangan maut membabitkan peserta RXZ namun kejadian itu berlaku di Negeri Sembilan berhampiran sempadan Melaka.
Sementara itu, Ab Rauf dalam ucapan perasmian turut mengingatkan semua peserta supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan di jalan raya.
“Kalau boleh, kita mahu pastikan sifar kemalangan dan sifar masalah dalam penganjuran ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua peserta diharap mematuhi undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Insya-Allah, kita akan melakukan yang terbaik dalam menyantuni semua peminat motosikal dan menjadikan acara ini sebagai acara tahunan,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


