Polis berkas 15 individu curi kabel TM di Bintulu

Bernama
Februari 1, 2024 23:50 MYT
Polis menumpaskan lima kumpulan mencuri kabel Telekom Malaysia di dua kawasan berasingan di Bintulu, dalam Op Bersepadu pada Isnin dan Selasa lepas. - Facebook PDRM Bintulu
KUCHING: Polis menumpaskan lima kumpulan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di dua kawasan berasingan di Bintulu, dalam Op Bersepadu pada Isnin dan Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Nixon Joshua Ali berkata, dalam operasi itu, 15 individu berusia antara 16 hingga 65 tahun ditahan, dengan 11 daripadanya warga tempatan, manakala empat lagi warga asing.
"10 orang daripada suspek yang ditahan telah didakwa ke mahkamah, manakala lima orang lagi masih dalam siasatan. Anggaran kerugian akibat kecurian kabel pula sebanyak RM500,000," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Nixon berkata, modus operandi kumpulan yang mencuri kabel ini ialah dengan memotong kabel yang terdedah di tepi jalan, kemudian memasuki terowong tempat penyambungan kabel.
Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri kabel.
-- BERNAMA
#curi kabel TM #kabel Telekom Malaysia #op bersepadu #Bintulu