Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Polis berkas empat lelaki terlibat curi kabel di Taiping

Bernama 15/11/2025 | 13:59 MYT
Tangkapan dilakukan pada 1.50 pagi selepas sepasukan anggota dari Balai Polis Kamunting menerima maklumat daripada seorang remaja. - Gambar hiasan/Adobe
IPOH: Polis memberkas empat lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di Jalan Kamunting-Batu Kurau, berhampiran Kolej Vokasional Taiping awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata tangkapan dilakukan pada 1.50 pagi selepas sepasukan anggota dari Balai Polis Kamunting menerima maklumat daripada seorang remaja yang terlihat kelibat beberapa individu membuka penutup lubang kabel di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, pasukan rondaan cegah jenayah segera dikerahkan ke lokasi sebelum menahan empat lelaki berusia antara 38 hingga 41 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

"Kesemua suspek ditahan ketika mereka sedang membuka penutup lubang kabel menggunakan peralatan khas. Turut dirampas dua bilah parang, dua pemutar skru serta sebuah kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman selama tiga hari hingga 17 Nov bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


#polis #empat lelaki diberkas #Curi Kabel #Taiping