Polis berkas empat tekong darat dalang sindiket penyeludupan warga Myanmar

Astro Awani
Jun 17, 2022 09:51 MYT
Empat suspek yang disyaki menjadi tekong darat itu ditahan sepasukan polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah lot di Kepala Batas. - Foto: PDRM
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia membabitkan warga Myanmar selepas menahan empat dalang utamanya menerusi OP Pintas Isnin lalu.
Empat suspek termasuk seorang wanita yang disyaki menjadi tekong darat itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Kedah dan Bukit Aman yang melakukan serbuan di sebuah rumah lot di Kepala Batas.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais
turut ditahan, 20 lelaki dan empat wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar.
"Sindiket tersebut dipercayai bergiat aktif di kawasan utara tanah air sejak awal tahun ini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Laman Facebook PDRM Pulau Pinang pada Jumaat.
Semua dalang yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Kesalahan Penyeludupan Migran).
Manakala PATI yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (kesalahan tidak memiliki permit yang sah).
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh hingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya.
"Kesemua suspek kini ditahan reman di Lokap Balai Polis Kepala Batas, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang untuk siasatan lanjut," katanya.
#seludup #warga myanmar #tekong darat #PDRM