Polis memberkas seorang lelaki di Kampung Ara Payung di sini, hari ini, yang dikatakan mengugut untuk menyembelih ibunya sendiri kerana enggan memberi wang yang diminta.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, suspek yang berusia 33 tahun diberkas ekoran laporan yang dibuat ibunya yang berusia 71 tahun.

Menurutnya, kira-kira 1.15 tengahari ketika pengadu berada di rumah, suspek telah meminta wang darinya.

“Apabila pengadu enggan berikan wang, suspek telah mengugut untuk menyembelih pengadu. Pengadu kemudiannya bertindak keluar daripada rumah dan meminta pertolongan dari jiran.

"Pengadu seterusnya datang ke Balai Polis Batu Gajah untuk buat laporan,” katanya di sini.

Menurutnya, pengadu menetap di rumah tersebut bersama suspek, yang juga anak bongsunya.

Suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kejadian itu merupakan kali kedua suspek bertindak mengugut mahu membunuh ahli keluarga pengadu.

“Kejadian pertama berlaku sebelum bulan Ramadan lalu namun tiada sebarang laporan polis dibuat,” ujarnya.

Ahmad Adnan berkata, suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau diberkas di rumahnya pada jam 4 petang tadi.

Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.