Skip to main content

Malaysia

Polis bongkar makmal haram, tahan tiga individu bersama dadah bernilai RM18.2 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan melihat pelbagai peralatan memproses dadah yang dirampas susulan kejayaan polis menumpaskan sindiket pemprosesan dadah serta membongkar makmal dadah haram bernilai RM18.19 juta dalam dua serbuan berasingan di kawasan Seri Alam dan Johor Bahru Selatan, awal bulan ini. - Foto BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan melihat pelbagai peralatan memproses dadah yang dirampas susulan kejayaan polis menumpaskan sindiket pemprosesan dadah serta membongkar makmal dadah haram bernilai RM18.19 juta dalam dua serbuan berasingan di kawasan Seri Alam dan Johor Bahru Selatan, awal bulan ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Polis membongkar makmal haram memproses dadah dan merampas dadah bernilai RM18.2 juta dalam dua serbuan di Seri Alam dan Johor Bahru Selatan.
  • Tiga individu berusia 17 hingga 22 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah, peralatan memproses, dan bahan terlarang di dua lokasi berasingan.
  • Sindiket dipercayai aktif sejak Jun, memproses dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, dan semua suspek telah didakwa di mahkamah.

JOHOR BAHRU: Polis membongkar sebuah makmal haram memproses dadah dan merampas pelbagai jenis barang terlarang itu yang dianggar bernilai RM18.2 juta dalam dua serbuan di kawasan Seri Alam dan Johor Bahru Selatan, awal bulan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata hasil operasi pada 1 Okt itu turut menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 22 tahun di sebuah rumah teres di Taman Megah Ria, Masai, yang dijadikan makmal haram berkenaan.

"Dadah yang dirampas daripada mereka ialah 101.64 kilogram (kg) methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 14 liter cecair dadah, 122.14 gram serbuk ekstasi dan 7.56 gram pil Erimin 5.

“Sebuah foklif dan pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk memproses dadah turut dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata serbuan susulan di sebuah rumah kedai di Jalan Permas yang dijadikan sebagai stor penyimpanan pula menemukan 106.84kg MDMA, 14 liter cecair MDMA, 23 liter cecair ganja, 122.14 gram serbuk ekstasi serta 7.56 gram pil Erimin 5.

Hussein berkata makmal haram itu dipercayai mampu memproses dan mengeluarkan pelbagai dadah dalam jumlah yang besar berdasarkan peralatan dan prekursor dirampas.

Beliau berkata sindiket itu yang dikesan aktif sejak Jun lepas, memproses dadah untuk diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa dengan suspek lelaki dikenal pasti berperanan sebagai koordinator dan ahli sindiket.

"Remaja berusia 17 tahun itu pula merupakan teman wanita kepada seorang daripada suspek yang ditahan dan kita sedang menyiasat peranannya dalam sindiket ini," katanya dan menambah kesemua individu itu telah dituduh di mahkamah pada 12 Okt lepas mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement