Polis buat permohonan lanjut tempoh reman penyampai radio hina TMJ

Ernalisa Othman
Mei 11, 2020 11:14 MYT
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bercakap ketika sidang media mengenai operasi khas Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. Foto BERNAMA
Polis akan memohon untuk menyambung tempoh reman terhadap seorang pelakon dan penyampai radio selepas dia disyaki memuat naik kenyataan jelik menghina Institusi Diraja Johor.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, pihaknya akan membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok (Selasa).
Jelasnya, permohonan itu adalah bagi membolehkan pihak polis melengkapkan kertas siasatan selepas tertuduh didapati enggan memberikan kerjasama.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial masing masing.
BACA: Penyampai radio direman tiga hari dipercayai keluar kenyataan jelik hina TMJ
“Baca balik Rukun Negara. Mana (yang) terlibat memuat naik komen jelik, bahasa kasar (bererti) mereka tak baca dan tak hayati Rukun Negara.
“Itu (Rukun Negara) tak ada tapi mengaku rakyat Malaysia. Jangan kurang ajar, kalau kurang ajar kita akan ambil tindakan,” kata Ayob Khan.
Jumaat lalu, Polis Johor menerima satu laporan polis daripada orang awam berikutan satu muat naik kenyataan jelik melalui Facebook oleh selebriti berkenaan yang bertujuan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Institusi Diraja Johor.
Tertuduh yang ditahan di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu lalu telah direman pada Ahad.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#ayob khan mydin pitchay #hina TMJ #Institusi Diraja Johor #keluar kenyataan jelik #ketua polis johor #Mahkamah Majistret Johor Bahru #pelakon #penyampai radio #polis johor #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #Tunku Mahkota Johor