KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Polis membuka kertas siasatan berhubung satu hantaran di Facebook yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap anggota polis di sebuah stesen minyak di Batu 14, Puchong, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan daripada anggota polis yang bertugas ketika kejadian, pada 10.54 malam.
“Pihak polis telah membuka kertas siasatan ekoran tuduhan tersebut di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pemilik akaun berkenaan akan dikesan dengan segera bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama “Izz Fairuzz” itu, dikesan selepas ia tular di media sosial.
Wan Azlan berkata hantaran berkenaan mendakwa sebuah kenderaan peronda polis menghalang lalu lintas, ketika anggota terbabit didakwa sedang menunggu makanan daripada peniaga warga asing di stesen minyak berkenaan tanpa membuat bayaran.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dakwaan yang tular di media sosial.
“Orang ramai diminta memberi ruang sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut tanpa membuat sebarang spekulasi,” katanya.
Beliau turut meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Subang Jaya menerusi talian 03-7862 7100.
Wan Azlan berkata identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
-- BERNAMA