Skip to main content

Malaysia

Polis buka kertas siasatan isu podcast dakwa sarang dadah dekat IPD Sentul

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Gambar fail/BERNAMA
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Polis membuka kertas siasatan berhubung video podcast yang mendakwa kegiatan pengedaran dadah di rumah ibadat berhampiran IPD Sentul.
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas laporan polis dibuat oleh Pengerusi Kuil.
  • Polis mengesahkan dakwaan dalam video merujuk kejadian 2016 dan menasihatkan semua pihak lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat.

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan sebuah video siniar (podcast) yang mendakwa wujud kegiatan pengedaran dadah di sebuah rumah ibadat berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata siasatan itu dimulakan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh Pengerusi Kuil Marathadi Madurai Veeran Kuala Lumpur pada Ahad lepas bagi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan dalam video berkenaan.

“Selepas mendapat arahan untuk menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya, pihak polis telah memanggil beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan.

“Ia termasuk (tetamu jemputan podcast) Azrul Affandi Sobry yang akan hadir ke IPD Sentul pada 12 tengah hari esok untuk proses rakaman percakapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus sebelum ini dilaporkan berkata dakwaan yang dibangkitkan menerusi video di akaun TikTok @Sembangohhyeahh itu sebenarnya merujuk kepada kejadian 10 tahun lepas.

Beliau berkata semakan mendapati insiden terbabit berlaku pada 12 Julai 2016 dan kandungan podcast berkenaan hanyalah penceritaan semula pengalaman tetamu yang membuat pemantauan sebagai wartawan pada ketika itu.

Fadil turut menegaskan publisiti seumpama itu tidak wajar dilakukan kerana ia boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap tahap integriti polis serta menasihatkan semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement