Polis buka kertas siasatan kemalangan maut bas ekspres

Naazron berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 3.15 pagi dengan bas ekspres tersebut dalam perjalanan dari Boon Lay, Singapura ke Ipoh, Perak. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres terbabas sehingga menyebabkan seorang penumpang maut manakala 28 lagi cedera, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 3.15 pagi dengan bas ekspres tersebut dalam perjalanan dari Boon Lay, Singapura ke Ipoh, Perak.
"Bas dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit dan melanggar tiang di KM293 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Kuala Lumpur).
"Bas dinaiki 29 orang termasuk pemandu, terdiri daripada 24 warga tempatan dan lima warga Singapura," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Naazron berkata kejadian menyebabkan penumpang di kerusi hadapan, lelaki tempatan berusia 59 tahun yang merupakan pekerja pembinaan di Singapura maut akibat cedera parah di kepala.
Mereka yang cedera termasuk pemandu dan pemandu simpanan kini dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang; Hospital Putrajaya dan Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Beliau meminta mereka mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Daerah Kajang Insp Mohd Raziman Rasid menerusi talian 019-4565502.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami