MALAYSIA

Polis buka kertas siasatan penularan video lucah guna AI

Umavathi Ramayah 14/09/2025 | 12:09 MYT
M Kumar berkata, setakat ini pihaknya menerima empat laporan daripada individu yang mendakwa menerima e-mel ugutan daripada pihak tidak dikenali dengan tuntutan bayaran AS$100,000 (RM420,000). - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan video lucah palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang turut disertakan dengan ugutan pemerasan terhadap beberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, setakat ini pihaknya menerima empat laporan daripada individu yang mendakwa menerima e-mel ugutan daripada pihak tidak dikenali dengan tuntutan bayaran AS$100,000 (RM420,000).

"Sekiranya tuntutan itu gagal dipatuhi dalam tempoh tiga hari, video palsu berunsur lucah yang memaparkan wajah mangsa akan disebarkan di media sosial,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Kumar berkata, kes pertama membabitkan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, yang membuat laporan polis pada Jumaat lalu selepas menerima e-mel ugutan tersebut.

“Pada tarikh sama, seorang Senator, Datuk Nelson W Angang turut dilaporkan menerima ancaman serupa. Dua lagi mangsa adalah ADUN Kulim, Wong Chia Zhen, dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari, yang masing-masing menerima e-mel dengan modus operandi sama,” katanya.

Menurutnya, kesemua laporan itu disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Kumar turut memberi amaran keras bahawa mana-mana pihak yang terbabit dalam menghasilkan, menyebarkan atau menggunakan bahan sedemikian akan dikenakan tindakan undang-undang tegas tanpa kompromi.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan, ketenteraman awam serta keharmonian negara," tegasnya.




#kecerdasan buatan #media sosial #ugut #video lucah