Polis buka kertas siasatan wanita hina Islam di kelab

Hilmi Malik
Julai 9, 2022 11:59 MYT
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR : Polis telah membuka kertas siasatan susulan tindakan seorang wanita yang didakwa menghina agama Islam yang tular di media sosial hari ini.
Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Norsiah Mohd Saaduddin, wanita terbabit dipercayai bertindak sedemikian ketika membuat persembahan di sebuah kelab yang berunsurkan komedi.
Katanya, siasatan dibuat susulan laporan polis yang diterima pada Sabtu berhubung rakaman video insiden itu yang tersebar.
“Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atau niat jahat memudaratkan keadaan harmoni.
“Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA: Jawi siasat video tular wanita hina Islam di sebuah kelab
Polis dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak menecetuskan sebarang provokasi yang mampu menyentuh sensitiviti agama dan perkauman dalam kalangan masyarakat.
Video tular berdurasi 50 saat itu memaparkan tindakan wanita berkenaan yang menanggalkan tudung dan baju kurung sebelum mengeluarkan kenyataan yang dipercayai menghina agama Islam, yang mendapat kecaman banyak pihak.
#kelab komedi #stand-up comedy #Polis siasat #wanita hina Islam