KUALA LUMPUR:Tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian tembak-menembak sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi, ditahan ketika mendapatkan rawatan di Songkhla dan Hatyai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, menjelaskan secara keseluruhan enam suspek warga Thailand yang dipercayai penyeludup sudah ditahan dengan dua daripada mereka ditahan di Malaysia manakala empat di negara jiran berkenaan.

"Awal pagi tadi kita dapat maklumat daripada Royal Thai Police bahawa mereka telah tangkap tiga orang yang cedera ketika mendapatkan rawatan di Songkhla dan Hatyai.

"Dua daripada rakyat Thailand (tiga suspek) itu (masing-masing) cedera di bahagian paha dan leher... yang cedera di leher itu kritikal.

"Polis Thailand kemudian berjaya menangkap seorang lagi suspek selepas siasatan dijalankan (menjadikan keseluruhan empat ditahan)," jelasnya.

BACA: Anggota PGA maut, cedera berdepan 13 anggota kumpulan penyeludup ketum - Portal berita Thailand

BACA: 
Kes tembak PGA di sempadan: 6 anggota sindiket penyeludupan ditahan

Katanya, sementara itu, di sebelah Malaysia, pasukan Komando VAT69 dan PGA Batalion 3 (Senoi Praaq) berjaya menahan dua lagi lelaki tidak lama selepas kejadian itu.

"Komando VAT69 memang digerakkan disitu sehari sebelum kejadian. Apabila pemeriksaan dibuat pada jam 7 pagi mereka temui seorang lelaki warga Thailand dan dia mengaku dia salah seorang daripada kumpulan penyeludup terbabit.

BACA: Kes tembak anggota PGA di sempadan: Keadaan di lokasi kejadian terkawal - IGP

BACA: Anggota PGA ditembak: "Suami tinggalkan kami sebagai wira negara" - Isteri

"Batalion 3 PGA (Senoi Praaq) pula berjaya menangkap seorang lagi lelaki juga warga Thailand... jadi keseluruhannya enam orang ditahan... tiga cedera dan seorang tidak cedera di Thailand manakala di Malaysia dua orang," katanya.

Abdul Hamid berkata, saki baki kumpulan itu akan dikesan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hamid turut mendedahkan dua warga Malaysia dipercayai terlibat dalam sindiket itu.



"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dibantu JSJN Kedah melancarkan operasi untuk menangkap suspek.

"Ada 13 orang disyaki... difahamkan tiga adalah warga Malaysia terlibat dalam insiden ini.

"Mereka (suspek rakyat Malaysia) menyediakan daun ketum dan ubat batuk untuk diseludup keluar," kata Abdul Hamid.

 
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya, Koperal Norihan Tari, 39, mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.

Mendiang yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu dan tiga anak berumur antara 18 hingga 32 tahun.