JELEBU: Tujuh banduan tahanan reman mahkamah dikesan melarikan diri dari Penjara Jelebu, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kesemua mereka yang lolos dikenali sebagai Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, Shazuan Md Sharif, Zainuddin, Mohd Zairizan Zainal, Muhammad Syafiq Rohmat dan Sohaimi Khalid.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, bagaimanapun salah seorang daripada mereka iaitu Sohaimi berjaya dikesan semula sekitar jam 7 petang tadi di kawasan kebun sawit, Kongkoi dengan jarak dua kilometer (KM) daripada lokasi penjara.

“Pada jam 3 petang tadi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, Negeri Sembilan telah menerima makluman berkaitan tujuh banduan di Penjara Jelebu, Negeri Sembilan telah melarikan diri.

“Kesemua banduan itu merupakan tahanan reman mahkamah yang ditempatkan di Penjara Jelebu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, susulan itu pihaknya telah melancarkan operasi mengesan dan menangkap banduan tersebut dengan bantuan Unit Anjing Pengesan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu.

“Pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat orang awam bagi membantu mengesan semula enam banduan ini.

“Maklumat tersebut boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi IPD Jelebu di talian 066136222 (IPD Jelebu) dan 066137999 (Bilik Gerakan IPD Jelebu),” tambahnya.

Jelas beliau, disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.