PORT DICKSON: Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang disyaki membakar sebuah kedai vape di Taman Ria di sini seperti video tular di platform X pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya terkesan dua video berdurasi satu minit 18 saat dan 15 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun di platform X dengan nama @anthraxxx781 pada jam lebih kurang 6.30 petang.

"Kebakaran itu berlaku pada Isnin lalu jam lebih kurang 9.50 malam membabitkan sebuah lot kedai vape. Api berjaya dipadamkan oleh pihak bomba.

"Anggaran jumlah kerugian lebih kurang RM50,000. Kes disiasat bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api," katanya pada Rabu.

Ujarnya, pihak polis sedang giat menjalankan risikan dalam usaha mengesan suspek terlibat.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Danial Abd Rohim di talian 013-2226085.

"Maklumat berkenaaan boleh juga disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Port Dickson, 06-6462999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya. - Sinar Harian