KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang wanita yang menyebarkan berita palsu mengenai kematian pemanah negara Allahyarham Haziq Kamaruddin dalam satu hantaran video di akaun Instagram.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima satu laporan polis orang awam selepas terlihat rakaman tersebut pada Sabtu lalu.

Rakaman video berdurasi 3 minit 34 saat itu dimuat naik melalui akaun Instagram milik penama Aqila Yusri serta status aplikasi WhatsApp.

"Video tersebut memaparkan tuduhan kepada KKM punca kematian Allahyarham Haziq Kamaruddin berpunca dari saluran darah tersumbat akibat pengambilan vaksin AstraZeneca dan menyembunyikan punca sebenar kematian.

"Pihak polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam rakaman video tersebut, kes di siasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998," katanya dalam kenyataan.

Semakan Astro AWANI mendapati video tersebut telah diturunkan daripada akaun berkenaan dan pemiliknya memuat naik hantaran permohonan maaf kepada beberapa pihak yang disebut dalam video tersebut.

Tambah Mohd Zaid orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenang mengulas atau menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih.

"Tindakan ini boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat amnya," katanya lagi.