IPOH: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai mencuri pakaian dalam wanita di sebuah rumah di Kampung Tasek di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata kejadian dipercayai berlaku pada 12.51 tengah hari berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Advertisement
“Semakan rakaman CCTV mendapati seorang lelaki menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran dan jenis yang tidak dapat dikenal pasti dengan jelas telah mengambil pakaian dalam di rumah itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerusi talian 05-2451500 atau balai polis berhampiran.
Semalam, satu rakaman video berdurasi 21 saat memaparkan kelibat lelaki mengambil pakaian dalam disidai di luar sebuah rumah tular di Facebook.
-- BERNAMA