Skip to main content

Malaysia

Polis buru lelaki lakukan kelucahan melampau berhampiran universiti 

GANGGUAN SEKSUAL UITM DUNGUN_Threads @itikgembo77
Polis turut mengesan satu video tular yang dipercayai berkaitan kejadian sama dan usaha mengesan saksi serta individu terlibat sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan. -Foto Threads @itikgembo77

DUNGUN: Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki melakukan aksi kelucahan melampau di kawasan berhampiran pintu masuk sebuah universiti awam di sini, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada 12.30 tengah hari semalam. 

Advertisement

Katanya siasatan awal mendapati lelaki yang menunggang motosikal itu telah melakukan perbuatan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan terhadap seorang wanita berusia 18 tahun yang juga pelajar universiti tersebut, sebelum melarikan diri. 

Jumaidy berkata polis turut mengesan satu video tular yang dipercayai berkaitan kejadian sama dan usaha mengesan saksi serta individu terlibat sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.

"Polis memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perlakuan tidak bermoral yang mengganggu keselamatan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video