Polis buru lelaki pancing duit tabung masjid

Abd Razak Mohd Ali
Disember 21, 2019 06:01 MYT
Suspek sedang cuba memancing duit di dalam salah satu tabung di Masjid Hidayatul Ummah, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar pada Rabu. - Foto PDRM
Masjid Hidayatul Ummah Kota Lama Kiri dekat sini kerugian kira-kira RM1,000 apabila tabung masjid itu 'dipancing' seorang lelaki pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ismail berkata, kejadian itu hanya disedari siak masjid pada 7.30 malam apabila dimaklumkan wang tabung di ruang solat wanita hilang.
Menurutnya, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilakukan setiausaha masjid mendapati, pada 9.35 pagi hari yang sama, seorang lelaki yang tidak dikenali telah mencuri wang dari empat tabung di ruang utama masjid itu.
“Suspek datang dari arah pekan Kuala Kangsar, telah masuk ke kawasan masjid dengan menggunakan motosikal warna biru, nombor pendaftaran tidak pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Razali berkata, suspek masuk ke ruang utama masjid melalui pintu yang tidak berkunci di bahagian mengambil wuduk.
Selepas itu, katanya, suspek memasuki ruang solat utama dan mencuri wang dalam tabung derma lut sinar di ruang solat wanita dengan cara merenggangkan tabung itu di bahagian kuncinya.
Menurutnya, suspek turut mencuri wang dari tiga tabung lain dengan cara memancing duit di dalam tabung-tabung berkenaan.
Razali berkata, usaha telah dibuat untuk mengesan cap jari suspek di atas tabung duit derma tersebut tetapi gagal menimbulkan cap jari yang sempurna.
Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan suspek.
#cap jari #CCTV #derma #Kuala Kangsar #masjid #pancing #Razali Ismail #ruang solat #siak #suspek #tabung #tabung hilang #wang hilang