KOTA TINGGI: Polis Johor sedang memburu seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Kluang, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 30-an itu yang dipercayai bapa angkat remaja berkenaan disyaki sudah melarikan diri, namun dipercayai masih di dalam negeri ini.

Katanya, laporan polis berhubung kejadian itu telah diterima dan pasukan khas telah ditubuhkan dalam memperkasa usaha bagi menahan suspek.

"...kita sedang mengesan. Warga asing tersebut dipercayai telah melarikan diri.

“Bagaimanapun pihak polis Johor khususnya telah menubuhkan pasukan khas untuk menahan suspek. Dia berkahwin tapi tak berdaftar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pertandingan menembak Polis Johor bersama media Johor di Ladang REM, Kota Tinggi pada Selasa.

Kamarul Zaman berkata, remaja berkenaan sudah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan terdapat kesan baharu dan lama pada alat sulit remaja itu.

Berdasarkan hasil siasatan awal, beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 3 pagi, 31 Julai lalu di sebuah kediaman keluarga angkatnya di Kluang.

Difahamkan, mangsa tampil berkongsi kejadian itu kepada guru sekolahnya yang memaklumkan dia sering dirogol bapa angkatnya.

Susulan itu, guru terbabit tampil membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.