KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu lima lelaki warga tempatan kerana disyaki telah merogol seorang wanita secara berkumpulan di sebuah rumah di Wangsa Maju, ibu negara, Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia lingkungan 20an itu, pada 4.52 pagi.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa telah dirogol pada jam 3.30 pagi oleh lima lelaki di sebuah rumah di Wangsa Maju.

"Kesemua suspek telah melarikan diri dan pihak polis sedang berusaha untuk mengesan kesemua suspek.

"Mangsa pula telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ashari berkata, kes telah disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai mengesan saksi bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Insp. Siti Fadzilah Ahmad Fisal di talian 017-6240252 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999," katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan polis sedang mengesan lima lelaki termasuk abang ipar seorang wanita yang menjadi mangsa rogol berkumpulan dalam kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun sedang tidur sebelum tersedar apabila mulutnya ditutup dengan tangan oleh seorang suspek.

Tangan mangsa kemudian diikat dan mulut mangsa dilekatkan dengan pita pelekat sebelum dirogol bergilir-gilir dan perbuatan terkutuk itu turut dirakam suspek.

Selepas memperkosa mangsa, semua suspek melarikan diri.

Mangsa cedera dan lebam pada tangan akibat kejadian itu.

Mangsa yang juga seorang pekerja swasta kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju.