Polis buru pemandu Myvi samseng

Umavathi Ramayah
Mei 8, 2022 10:56 MYT
Polis sedang mengesan pemandu kereta Perodua Myvi yang bertindak samseng dengan menghalang laluan kenderaan lain di MRR2, berhampiran Taman Layang-layang. - Foto media sosial
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan pemandu kereta Perodua Myvi yang bertindak samseng dengan menghalang laluan kenderaan lain di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Layang-layang di sini, yang tular di media sosial sejak Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketika pengadu sedang memandu keretanya, kenderaan suspek yang berada di hadapan bertindak membrek keretanya secara tiba-tiba beberapa kali yang menyebabkan pengadu hampir melanggarnya.
"Kemudian, suspek dilihat mengeluarkan sebatang kayu panjang dari tingkap kenderaannya sambil menjerit-jerit, namun pengadu tidak pasti apa yang dituturkan lelaki tersebut.
"Pada awalnya pengadu mengabaikan dan bertindak meneruskan perjalanan namun kejadian itu mendatangkan kegusaran.
"Bimbang akan keselamatannya, pengadu mengambil keputusan untuk membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Eng Lai menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan secara jenayah.
Jika sabit bersalah, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menhubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Syukor di talian 012-76774731 atau balai polis berhampiran dengan segera.
#Myvi #memandu secara berbahaya #video tular #Polis Diraja Malaysia #samseng #Polis Daerah Sentul