Polis sedang memburu seorang lelaki penjual ikan di Pasar Borong Serdang kerana disyaki mendera anak angkatnya yang berusia 7 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, suspek yang berusia 48 tahun didakwa melakukan perbuatan mendera itu pada 30 Mei, pukul 6 petang di rumahnya di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan.

“Pihak polis menerima laporan daripada isteri suspek yang juga ibu angkat kepada kanak-kanak perempuan (mangsa) pada Selasa yang mendakwa suspek telah mendera mangsa dengan menggunakan sudu panas dan telah memukul kepalanya.

“Kejadian dipercayai berpunca kerana mangsa dituduh suspek kerana mencuri wangnya. Selepas mendera, suspek hanya memberikan minyak kepada mangsa dan meninggalkannya sehinggalah diambil oleh ibu angkatnya.

“Ketika kejadian hanya terdapat mangsa, anak lelaki suspek berusia 9 tahun dan suspek sendiri, isteri suspek telah pergi ke India untuk bercuti dari 24 Mei hingga 2 Jun lalu dan meninggalkan mangsa bersama suspek di rumah, katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ismadi berkata kanak-kanak perempuan itu kini ditempatkan Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan kerana melecur di kedua pipi, tangan, pinggang kanan dan kaki kiri.

Isteri suspek merupakan suri rumah dan telah berkahwin selama lima tahun, manakala mangsa merupakan anak angkat yang diambil secara sah sejak tahun 2018.

“Kes disiasat di bawah seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001. Justeru, pihak polis sedang mengesan suspek serta memohon orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan kes berkenaan kepada polis sekiranya ada,” jelas beliau.