MALAYSIA

Polis buru ‘Ramesh’ dan ahli kumpulan jenayah terancang

Hasimi Muhamad 29/12/2025 | 05:05 MYT
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar (kanan) bercakap pada sidang media Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sebahagian besar kumpulan jenayah terancang menerusi operasi bersepadu OPS III, yang aktif di Kedah serta beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak 2020.


Ringkasan AI
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sebahagian besar kumpulan jenayah terancang melalui operasi bersepadu OPS III di Kedah dan Pulau Pinang sejak 2020.
  • Kumpulan ini terlibat dalam pelbagai jenayah berat termasuk kecederaan parah, pengedaran dadah, dan sekurang-kurangnya dua kes bunuh.
  • Suspek utama, Ramesh Govinda Rajan (36 tahun), masih bebas dan dalam proses pengejaran, manakala 17 individu telah ditahan dan disiasat di bawah SOSMA.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan terlibat dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan, mendatangkan kecederaan parah, pengedaran dadah serta sekurang-kurangnya dua kes bunuh.

Beliau berkata, suspek utama kumpulan itu ialah seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dikenali sebagai Ramesh Govinda Rajan, yang kini masih bebas dan sedang diburu.

Daripada keseluruhan 35 ahli kumpulan, polis setakat ini telah menahan 17 individu, manakala baki selebihnya sedang dikesan secara agresif oleh pasukan khas.

“Mula-mula kumpulan ini masa 2020 ini dikenali sebagai Geng 35 selepas itu Geng ‘Rusaboy’. Kalau kita tengok tahun 2020 masa kita tangkap, ini adalah saki-baki ahli-ahli kumpulan itu.

“Pada 27 November hingga 4 Disember, pasukan operasi telah digerakkan dan berjaya menahan seramai 17 ahli kumpulan ini, berusia antara 24 hingga 42 tahun.

“Hasil semakan rekod jenayah mendapati kesemua yang ditahan mempunyai rekod lampau membabitkan kes bunuh, rompakan berkumpulan bersenjata api, mendatangkan kecederaan parah serta pengedaran dadah.

“Selain itu, daripada 17 individu yang ditahan, tujuh ahli geng pernah ditangkap di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan pada tahun 2020 dan telah disabitkan hukuman penjara lima tahun sebelum dibebaskan pada Januari 2024.

“Bagaimanapun, selepas dibebaskan, tujuh individu terbabit didapati kembali terlibat dalam kegiatan jenayah terancang,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Isnin.

Kumar menambah, kesemua 17 ahli kumpulan terbabit kini disiasat dan direman di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mengulas lanjut, Kumar berkata kumpulan jenayah terancang berkenana juga dipercayai aktif merekrut ahli-ahli baharu.

Ujarnya lagi, kumpulan berkenaan mempunyai struktur organisasi tersusun dengan setiap ahli mempunyai peranan masing-masing seperti kumpulan penyerang, kutipan kewangan serta pengedaran dadah.

"Selain daripada itu mereka juga menggunakan kekerasan untuk menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam kepada masyarakat setempat. Jadi kalau kita gunakan perundangan yang lain dan bukan di bawah peruntukan SOSMA, mungkin kita boleh tangkap salah seorang yang melakukan kegiatan itu tetapi ahli-ahli kumpulan dia masih bebas.

"Sekarang kita akan siasat dan semak juga kedudukan kewangan kumpulan itu," kata Kumar.

Beliau berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 23 Disember lalu dan pihaknya telah menerima arahan untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, pada Selasa (esok).





#Ramesh #kumpulan jenayah terancang #PDRM #OPS III #diburu #rompakan berkumpulan #kes bunuh #terkini